Teristimewa Buatmu

Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya diciptakan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana haruman aromamu mampu menarik sang kumbang untuk mendekatimu..
Namun, sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan ALLAH buatmu. Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredhaan ALLAH, bertunjang ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya wanita solehah menjadi idaman setiap insan. Wanita yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik juga.

Tuesday, June 5, 2012

Cintailah Ilahi

Bismillahirrahmanirrahim... Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh... Semua orang tahu bahawa cinta teragung itu ialah cinta kepada ALLAH. Mencintai sesuatu itu pula mestilah kerana ALLAH. Tetapi, kenapa masih ramai manusia mensia-siakan peraturan cinta olehNya? Ya, manusia sering tahu secara tepat tetapi tidak faham secara jelas. Apa itu cinta? Apakah pula yang sepatutnya kita fajam tentang cinta? Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah mencoret dalam catatannya Rawdah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Mushtaqin (Taman Orang yang Cinta dan Rindu) bahawa ada lebih 60 istilah yang dikaitkan dengan cinta. Antaranya ialah al-mahabbah )kasih sayang), al-tatayyum (perhambaan), al-sabwah (rindu yang cenderung kepada kebodohan), al-ishq (asyik), al-hawa (keinginan) dan banyak lagi. Dalam 60 istilah yang pelbagai ini, cinta boleh diibaratkan kepada tiga kiasan: 1. Ada kalanya cinta menjadi seperti singa dan pedang: berkuasa, mulia dan gah di tangan pejuang. Cinta ini menjadikan yang hina menjadi mulia, yang miskin menjadi kaya jiwa, yang kaya menjadi dermawan dan yang melarat menjadi terhormat. Inilah cinta yang ALLAH redha iaitu cinta kepada ALLAH, Rasulullah, ilmu, keluarga, perjuangan dan seumpamanya. 2. Ada kalanya cinta menjadi bencana besar: Mengundang 1001 akibat, sengsara, derita dan penyesalan. Cinta inilah yang menjatuhkan seseorang pemimpin hebat seperti Bill Clinton dan sebagainya. 3. Ada kalanya juga cinta menjadi seperti arak yang memabukkan: Khayal dan tenggelam. Hilang arah dan pedoman. Inilah cinta sebelum pernikahan. Cinta ini banyak ditagih oleh anak-anak muda pada zaman ini. Keasyikan mereka membuatkan akal yang mabuk tidak mampu menikmati lazatnya nasihat. Prof. Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya al-Islam wa al-Hub menulis:" Cinta itu ialah kecenderungan kepada sesuatu." Wujudkah manusia sihat yang tidak cenderung kepada sesuatu? Rasa minat, kagum, rindu, teringat, suka, cinta dan cenderung kepada seseorang ialah fitrah setiap insan. Perasaan indah ini singgah mengusap di setiap hati. Tiada siapa terkecuali. Semua orang akan merasainya. Itu petanda seseorang itu normal dan sihat. Fitrah ini akan tetap fitrah apabila ia berhias istighfar dan mujahadah. Soal cinta amat akrab dengan soal hati. Oleh sebab itulah hati perlu berada dalam keadaan sentiasa berhati-hati dengan memperbanyakkan istighfar. Bimbang rasa suka, cinta dan sayang yang suci itu terheret menjadi rasa ingin selalu berbalas sms, call dan kerap berjumpa. Setiap dosa besar bermula dengan dosa kecil. Setiap jenayah anggota bermula daripada dosa hati. Tidak hairanlah Rasulullah saw dan generasi salafussoleh amat berhati-hati menjaga hati dengan memperbanyakkan istighfar setiap hari setiap hari meskipun mereka bukanlah orang-orang yang membuat dosa. Daripada Al-Aghar bin Yasar al-Muzani r.a berkata, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:"Wahai sekalian manusia, minta ampunlah (istighfar) kepada ALLAH SWT. Sesungguhnya aku meminta ampun dan taubat kepada ALLAH 100 kali setiap hari."(Riwayat Muslim). Daripada Abu Hurairah r.a, dia berkata, aku mendengar Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:"Demi ALLAH, sesungguhnya aku beristighfar dan bertaubat kepada ALLAH dalam satu hari lebih daripada 70 kali." (Riwayat al-Bukhari). Hati yang menjadi raja kepada jasad boleh mengarahkan anggota badan seperti lidah, tangan, kaki, mulut dan telinga untuk bertindak bertentangan dengan panduan syariat. Apabila lisan dan perbuatan mula melaksanakan arahan hati itu, ketika inilah fitrah menjadi fitnah. Fitrah boleh dinodai serakah. Walaupun hati akur bahawa fitrah cinta ialah anugerah ALLAH, ironinya, hati juga ingkar bahawa fitrah cinta itu ada peraturannya daripada ALLAH. Apa-apa yang ALLAH haramkan, dilakukan. Apa-apa yang ALLAH perintahkan, ditinggalkan. Demi cinta, segala-galanya menjadi 'halal' belaka. Kerana si dia, ALLAH, dipersia-siakan. Urusan antara lelaki dan perempuan pada asalnya dibolehkan. Namun, ramai orang yang beralasankan 'urusan' untuk menghalalkan ikhtilat yang terlarang. Call, dating, chatting tanpa urusan kian membarah sebagai budaya. Adakah perbuatan tersebut boleh membawa seseorang semakin ingat ataupun sebaliknya semakin lalai kepada ALLAH? Manusia tidak berhak menghukum hati sesiapa. Bertanyalah sendiri kepada Pencipta hati masing-masing. Cinta berkah. Cinta fitrah yang dipelihara kesuciannya akan berbuah barakah. Barakah itu mungkin di dunia, mungkin juga di akhirat. Lebih indah jika barakah itu kedua-duanya sekali, di dunia dan akhirat. Orang yang mempersiapkan diri dengan peribadi Muslim insya ALLAH akan dianugerahkan bait al-muslim(rumah tangga Muslim). Orang yang berusaha menjadi soleh, insya ALLAH akan dimudahkan ALLAH mendapat orang yang solehah. Cinta yang barakah akan terus bersemarak indah dalam ikatan nikah. Ia melengkapkan separuh agama. Namun, andai tiada jodoh didunia, cinta fitrah yang terpelihara akan terus mendapat barakah dengan meneguk lazatnya 'redha' pada ketentuanNya. Perkahwinan bukanlah matlamat cinta. Ia cuma alat untuk lebih mudah mendapat cintaNya. Sama ada cinta fitrah itu dianugerahkan perkahwinan atau tidak, ia tidak dapat menghalang seseorang untuk mendapatkan cinta ALLAH. Dialah sebenar-benarnya hakikat cinta. Ya ALLAH, kurniakanlah aku cintaMu, cinta orang yang mencintaiMu serta cinta kepada amalan-amalan yang membawa kepada kecintaanMU, amin ya Rabbal'alamin... (Ustazah Fatimah Syarha,Solusi 36, 2011). Wallahu'alam...

No comments:

Post a Comment